PENAFIAN (DISCLAIMER)

Pihak penulis "Fikiran Kami" tidak akan bertanggungjawab atas segala hal yang akan terjadi hasil daripada nukilan di blog ini. Tulisan yang diterbitkan di blog ini hanya cetusan pendapat dan pandangan peribadi penulis ataupun pautan sumber-sumber yang dipilih.

Yang Mengikuti

06 April 2008

PAS perlu sertai BN

Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.

Bendera PAS ketika di dalam BN


Salam pertemuan.

Tajuk pos kali ini mungkin mendatangkan seribu persoalan. Atau setidak-tidaknya ada juga persoalan yang akan timbul. Apa perlunya PAS sertai BN?

Sejarah telah tertulis, ketika Barisan Nasional mula ditubuhkan pada awal 70-an, parti PAS adalah salah satu pengasasnya. Kepentingan perpaduan rakyat khususnya orang Melayu dilihat sebagai agenda utama ketika itu. Atas dasar itu, PAS bersedia bersama-sama dengan lain-lain komponen BN untuk menjadi kerajaan. Tempoh ini dianggap sebagai "penyatuan orang Melayu" walaupun masing-masing mengikut ideologi parti masing-masing tetapi ia masih di anggap satu parti iaitu BN.

Setelah tidak berapa lama di dalam parti, dan mungkin disebabkan oleh perginya Tun Abdul Razak mengadap Ilahi, PAS keluar dari BN pada tahun 1978. Tun Abdul Razak yang bertanggungjawab menubuhkan BN ini dan tindakan beraninya mengajak parti pembangkang pada 1969 menyertai BN telah menyelamatkan politik Malaysia. Dan jika Tun Abdul Razak tidak pergi dahulu ke Rahmatullah, besar kemungkinan PAS masih lagi di dalam BN hingga kini.

PAS pada awal 80-an iaitu setelah keluar dari BN dipengaruhi oleh Revolusi Iran yang menyebakan kejatuhan kerajaan beraja Iran yang sekular dan digantikan oleh Republik Islam Iran diketuai seorang pemimpin tertinggi (seperti Mursyidul Am PAS ketika ini). Dan kebanyakan ahli-ahli PAS terpengaruh dengan gerakan Revolusi ini dan mereka menolak kebanyakan pemimpin tertinggi PAS seperti Datuk Mohd. Asri Muda.

Apa yang dikesalkan di sini ialah, golongan yang mengaku sebagai ulama' di dalam PAS ini sebenarnya tidak ubah seperti golongan Syiah yang menentang saudara seagama sendiri kerana disebabkan hal-hal yang kecil. Mereka memisahkan diri dengan Ahli Sunnah wal Jamaah kerana pendirian mereka yang tidak sama dalam beberapa hal.

Jika dikaitkan denga persekitaran sekarang, PAS rela bekerjasama dengan DAP yang terang lagi bersuluh menjunjung amalan sekular dibandingkan dengan ideologi negara Islam PAS. Mengapa PAS tidak mahu bekerjasama dengan BN/UMNO? Apakah UMNO sudah kafir? Siapa PAS untuk menentukan kekafiran seseorang? Adakah orang-orang UMNO yang masih mengaku ALLAH adalah tuhan yang wajib disembah dan Nabi Muhammad sebagai rasul Allah, dicap sebagai kafir? Adakah "kafirnya" UMNO ini lebih hina daripada kafir golongan bukan Islam DAP itu?

Saya percaya golongan profesional yang menyertai PAS adalah berfikiran terbuka dan tidak terikat pada pandangan golongan ulama' di dalam PAS itu sendiri dan saya yakin mereka sedia bekerjasama dengan BN/UMNO jika diberikan ruang dan tidak mustahil mereka akan menyertai BN demi menyelamatkan maruah dan kekuasaan politik orang-orang Melayu Islam.

Dan saya juga ingin menyeru kepada ahli-ahli PAS akar umbi supaya berfikir mengenai pentingnya ketuanan politik orang Melayu. Adalah lebih sukar untuk melihat Islam itu berkembang di bawah pemerintahan orang bukan Melayu/Islam berbanding dengan pemerintahan orang Melayu/Islam.

Jadi perlunya kerjasama PAS-UMNO di dalam BN supaya undi orang Melayu tidak berpecah. Sekaligus akan meningkatkan kerjasama orang-orang Melayu Islam sendiri dan secara tak langsung mengukuhkan perpaduan Islam sendiri.

p/s: Kita selalu mendoakan keselamatan orang-orang Palestin tetapi mereka sendiri tidak bersatu walaupun majoritinya beragama Islam. Fatah dan Hamas sendiri asyik berbalah. Jika direnung kata-kata Hj. Hadi, "kita hanya akan berunding jika mengenai perpaduan Islam, bukan perpaduan Melayu". Mengapa di Palestin tidak berlakunya perpaduan sesama Islam?


02 April 2008

Apakah perjuangan PAS ketika ini?

Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.

Di sebalik kehangatan usaha-usaha bagi melakukan perubahan di dalam UMNO,terbaru iaitu semalam dengan Kumpulan Menyokong UMNO (MYKMU) menganjurkan forum "UMNO Pasca Pilihanraya Umum Ke 12:Satu Penilaian",pihak pembangkang iaitu PAS,PKR dan DAP pula telah mengumumkan langkah terbaru mereka untuk mengeratkan lagi kerjasama ketiga-tiga parti tersebut,dengan mengumumkan pembentukan Pakatan Rakyat.

Akhirnya,setelah 3 kali PRU mereka bersatu di bawah Barisan Alternatif,dan kemudiannya bertukar menjadi Barisan Rakyat,dan setelah berkali-kali dihentam oleh Barisan Nasional yang menggelarkan mereka pakatan main-main sahaja,mereka akhirnya telah sepakat untuk mewujudkan satu pakatan yang lebih erat,berbanding pakatan-pakatan mereka yang terdahulu.

Pakatan ini terdiri daripada 2 parti yang hampir sama iaitu PKR dan DAP yakni dari segi dasarnya yang menyatakan bahawa mereka adalah parti berbilang kaum,dan satu lagi parti yang dahulunya begitu gah memperjuangkan konsep negara Islam mengikut acuan mereka sendiri,iaitu PAS.Kalau dikaji dengan lebih teliti,di antara ketiga-tiga parti tersebut,PKRlah yang lebih "multi-racial".DAP pula lebih kepada parti bukan Melayu,sungguhpun terdapat segelintir ahli Melayu beragama Islam,manakala PAS pula,memandangkan parti ini menggunakan Islam sebagai modal politiknya,maka tidak hairanlah sekiranya ada bukan Melayu yang beragama Islam,cuma baru-baru ini sahaja terdapat seorang bukan Islam yang merupakan ahli kelab yang menyokong PAS,itu pun bertanding di atas tiket PKR.

Sebelum mengulas dengan lebih lanjut mengenai PR ini,eloklah kita lihat kembali sedikit sebanyak mengenai sejarah penubuhan PAS.Berikut adalah sebahagian daripada maklumat yang diambil daripada Wikipedia memandangkan tidak ada maklumat sejarah yang diselitkan di laman web rasmi PAS (sekiranya ada,tolong sampaikan kepada penulis ya?)

PAS atau Persatuan Islam Se-Malaya (nama asalnya) adalah satu-satunya pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan kepada Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948.

Golongan reformasi ini bukan sahaja berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam, tetapi turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah.


Jelaslah bahawa matlamat asal penubuhan PAS adalah untuk menubuhkan negara Islam.Setelah isu ini menjadi persoalan untuk agak lama,pada tahun 2001,Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Datuk Seri(kini Tun) Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan secara terbuka bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.Berikut adalah keratan akhbar Utusan Malaysia:

Malaysia negara Islam - PM -- Dr. Mahathir sahut cabaran Fadzil Noor

Oleh: ASUKI ABAS dan NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini secara terbuka menyahut cabaran Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor dengan menegaskan bahawa Malaysia adalah negara Islam yang selari dengan ajaran Islam.

Menurut Perdana Menteri, rakyat bukan Islam mempunyai hak untuk menganggap negara ini sebagai sebuah negara sekular tetapi parti peneraju kerajaan iaitu UMNO menganggap Malaysia sudah memenuhi syarat yang cukup untuk mengaku sebagai negara Islam.

``Ya (mengaku secara rasmi Malaysia adalah sebuah negara Islam), kita dah berkali-kali kata dan parti lawan tidak perlu tanya lagi; memang Malaysia sebuah negara Islam kerana definisi negara Islam ini luas.

``Jadi kita hendak tahu apa dia negara Islam yang dia (parti Pas) sebenarnya hendak, kerana kita sudah ada (negara Islam),'' katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar ketika diminta mengulas ucapan yang disampaikannya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-30 di sini.

Sungguhpun begitu,pada PRU tahun 2004,PAS menyatakan dalam manifestonya bahawa mereka akan menubuhkan kerajaan Islam mengikut tafsiran mereka kerana bagi mereka,Malaysia masih belum lagi layak untuk digelar sebagai negara Islam.Mungkin ini disebabkan oleh kenyataan Presiden PAS pada tahun 2001,arwah Datuk Fadzil Noor mengatakan seperti berikut:

"Konsep negara Islam adalah luas dan tidak berpandukan kepada hudud semata-mata. Salah satu darinya ialah syariat Islam yang sepatutnya diletakkan sebagai sumber tertinggi dalam perundangan negara. Tetapi, ia tidak terdapat dalam perlembagaan negara," katanya.

Katanya sesuatu kerajaan itu tidak boleh mengatakan negara itu Islam dengan hanya mendirikan masjid.

"Kalau kita lihat, Thailand pun dirikan masjid tetapi ia bukan negara Islam," katanya.

Utusan Malaysia,1 Okt 2001
Itu dulu.Sekarang mereka sudah berubah pendapat.Dalam PRU 12 baru-baru ini


Exco Perak tidak seimbang?

Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.


Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengemukakan barisan Exco Kerajaan Campuran DAP-PKR-PAS Perak. Barisan yang terdiri daripada 6 EXCO DAP, 3 PKR, dan 1 PAS tidak termasuk jawatan Menteri Besar. Daripada komposisi itu, 6 orang adalah kaum Cina, 3 orang Melayu dan 1 kaum India.

Jelaslah bahawa ada agenda tersembunyi di sebalik barisan EXCO baru ini. Negeri Perak terdiri lebih 50% kaum Melayu. Jika fakta ini diambil kira, mengapa hanya 3 sahaja EXCO Melayu? MB Nizar sudah tentu sukar untuk menjalankan tanggungjawab untuk menjaga kepentingan Melayu (jika benar dia ingin menjaga kepentingan bangsanya sendiri) kerana akan "diasak" oleh EXCO DAP kaum Cina.

Di mana-mana sudut dunia ini, dalam sesebuah kerajaan, golongan majoriti akan mudah membuat sesuatu perkara tanpa perlu persetujuan minoriti. Dalam kes ini, Perak, majoritinya adalah Melayu, tetapi pembuat keputusannya adalah kaum Cina. Benarkah seperti kata sesetengah pihak yang penulis dengar, "orang Melayu akan terjaga kepentingannya kerana MBnya adalah Melayu" walaupun majoriti kerajaannya adalah Cina?

Bagi penulis, orang yang mengeluarkan penyataan ini tidak memahami konsep kekuasaan sesebuah kerajaan. Sesebuah masyarakat majoriti perlukan komposisi yang juga majoriti dalam sesuatu pentadbiran supaya seimbang dengan nisbah masyarakat. Ini untuk memudahkan sesuatu aduan atau harapan rakyat dapat disampaikan.

Penulis merasa kesal kerana orang Islam sendiri tidak mahu bekerjasama sesama orang Islam. Malah sanggup bekerjasama dengan orang bukan Islam yang selama ini secara terang-terangan menentang Islam. Perbuatan ini seolah-olah menyamai sifat-sifat golongan Syiah. Jika kita membaca sejarah, kita pasti dapat tahu golongan Syiah tidak akan bekerjasama dengan ahl-Sunnah wal-Jamaah. Juga terdapat pemimpin Syiah yang sanggup mengkafirkan golongan ahl-Sunnah ini.

Kini negeri Perak, tidak ubah seperti Singapura yang mana kerajaannya tidak mengikut komposisi kaum yang ada. Di Singapura, walaupun orang Melayu membentuk peratusan kedua terbesar, tetapi hanya ada seorang menteri sahaja. Sedangkan kaum India yang ketiga terbesar pula dapat menjawat pelbagai jawatan, malah dilantik menjadi Presiden Singapura. Kali pertama dan terakhir seorang Presiden Melayu ialah Tun Yusof Ishak ketika era Singapura baru merdeka. Jika alasannya tiada orang Melayu yang berkelayakan, adalah sangat mustahil. Ada di antara orang Melayu Singapura yang berkaliber dan berdedikasi, bukannya tidak ada langsung.

Teringat penulis pada seorang rakan penulis yang berpihak pada pembangkang. Katanya sebelum pilihan raya, "Haram bagi orang Islam mengundi bukan Islam kerana kita akan menanggung dosanya nanti," Tetapi lain pula nadanya setelah pilihan raya, "Kita patut undi bukan Islam kalau dia bawa faedah pada kita," Rasa keliru, namun itulah hakikatnya. Penulis tak pernah lupa ayat-ayat yang dikeluarkan oleh rakan penulis yang seorang ini. Terbukti katanya sekejap tak boleh, sekejap boleh. Mana pendiriannya?

Adakah pasti kaum lain akan menjaga kepentingan Melayu? Sudah tentu tidak kerana hanya kitalah sebagai orang Melayu yang wajib menjaga kepentingan kita, kaum lain akan menjaga kepentingan kaum masing-masing, atau anda boleh membuat pilihan supaya Malaysia menjadi seperti Singapura atau sekurang-kurangnya seperti Pulau Pinang.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Sila berikan komen dengan menyatakan nama anda. Komen dengan menggunakan nama Anonymous bermakna anda adalah seorang pengecut yang tidak berani bertanggungjawab terhadap komen anda sendiri.