PENAFIAN (DISCLAIMER)

Pihak penulis "Fikiran Kami" tidak akan bertanggungjawab atas segala hal yang akan terjadi hasil daripada nukilan di blog ini. Tulisan yang diterbitkan di blog ini hanya cetusan pendapat dan pandangan peribadi penulis ataupun pautan sumber-sumber yang dipilih.

Yang Mengikuti

14 January 2010

Akibat tidak taat kepada Ulul-Amri


Kereta Nizar Jamaluddin yang terbalik Ipoh tempoh hari. Inilah akibat tidak taat kepada Ulul-Amri (Sultan Perak). Barangkali kejadian ini mengingatkan sesuatu kepada rakyat khususnya pembangkang. Kepada mereka, sedarlah bahawa perjuangan pembangkang itu adalah sia-sia, lebih lagi PAS yang sudah jauh terpesong daripada landasan asal perjuangan mereka selama ini.

Hanya kerana undi, Islam digadaikan!

13 January 2010

Bacalah Surah Al-Ikhlas


Salam muhibbah.

Saya cukup anti dengan mereka (Melayu Islam) yang menyokong dengan bersungguh-sunguh penggunaan kalimah 'ALLAH' oleh Kristian. Atas dasar apa kamu menyokongnya? Bangsat sungguh kamu. Mempermainkan keEsaan Allah SWT. Orang sebegini adalah pelacur politik yang keji lagi hina.

Kamu sendiri tidak memahami konsep akidah Kristian yang menyatakan Tuhan itu dijelmakan di dalam tiga bentuk iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak (Jesus) dan Roh Kudus. Adakah itu sama dengan Allah yang Maha Esa yakni Satu, Tunggal dan tiada yang sama dengan-Nya?

Orang-orang ini patut merenung, membaca, dan mendalami Surah Al-Ikhlas:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  1. Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.
  2. Sesungguhnya Allah kekal.
  3. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan
  4. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.


31 December 2009

Salam Tahun Baharu 2010

Salam muhibbah.

1. Pertama sekali saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Indonesia dan keluarga Allahyarham Abdurrahman Wahid atau Gus Dur atas pemergiannya menghadap Yang Maha Esa.

2. Walaupun Gus Dur tidak memerintah dengan begitu lama, paling tidaknya beliau sudah membantu memimpin Indonesia pasca reformasi. Pasca reformasi Indonesia masih berada dalam keadaan tidak tenteram selepas kejatuhan Presiden Soeharto.

3. Tidak lupa, sempena kedatangan Tahun Baharu 2010, saya ingin mengucapkan selamat menempuh tahun yang baharu dan semoga tahun 2010 akan membawa rahmat dan keamanan kepada negara Malaysia tercinta ini.

4. Kepada rakan-rakan bloggers dan pembaca yang setia, terima kasih saya ucapkan atas kerjasama anda dan kesudian anda menjengah ke blog yang tidak seberapa ini. Jumpa lagi!

14 December 2009

Salah Kamu, Salah Kamu. Salah Aku, Salah Kamu

Salam sejahtera.

1. Sejak bergabung secara tidak sah selepas PRU-12 yang lalu, perjuangan PAS semakin kabur dan tidak jelas. Di satu pihak mahukan Islam, di satu pihak lagi mahukan liberal. Ada yang benar-benar tulen dalam memperjuang ideologi parti, ada yang tamakkan undi bukan Islam.

2. Sindrom penafian juga telah bercambah di dalam PAS. Apa sahaja isu yang timbul, seboleh-bolehnya tidak mahu disebarluaskan. Jalan mudah, menafikan sahaja apa yang datang.

3. Media massa sering menjadi mangsa keadaan. Jika media melaporkan keburukan parti BN, maka bergegarlah seantero PAS bersorak kegembiraan. Malangnya apabila media melaporkan keburukan PAS, disalahkan pula media, kononnya akan menampakkan kelemahan PAS.

4. Pemimpin-pemimpin PAS perlu belajar bagaimana menghadapi media. Bukan bercakap semberono dan kemudian menafikan pula ayat yang sudah dikatakan itu. Apatah lagi jika dirakam di dalam video. Seboleh-bolehnya hendak dikatakan bahawa bukan si dia yang berkata begitu. Itulah sindrom penafian yang merebak di dalam PAS.

5. Peliknya apabila yang salah itu BN, mereka dengan tegas menyatakan memang salah itu BN. Tetapi apabila yang salah daripada PAS, BN juga yang akan menjadi mangsa. BN juga akan dipersalahkan.

6. Usah berkokok mengenai kebebasan media jika fikiran sendiri dikongkong dengan pemikiran yang jumud dan takabbur. Seolah-olah menyatakan yang dirinya sahaja yang hebat, orang lain tak hebat. Dia sahajalah yang betul-betul Islam, yang lain tidak Islam. Dia sahaja yang dapat masuk syurga, orang lain tidak.

7. Berhenti menyalahkan orang lain. Tidak salah mengakui kesalahan sendiri. Orang yang mengakui salahnya sendiri dapat belajar supaya menjadi insan yang lebih bertaqwa dan tidak mengulangi kembali kesalahannya itu.

10 December 2009

1Malaysia boleh jadi perangkap

Salam muhibbah.

1. Akhir-akhir ini, banyak agensi kerajaan dipertikaikan kredibilitinya. Satu demi satu cuba dibongkar supaya menelanjangkan kelemahannya. Pembangkang cuba memainkan kelemahan agensi kerajaan agar rakyat lihat bahawa tiada agensi kerajaan yang benar-benar berwibawa.

2. Kelemahan tetap ada. Semua agensi terbabit ditadbir oleh manusia. Setiap manusia ada kelemahannya. Tidak tahu lah jika ada manusia yang menganggap dirinya suci tanpa ada dosa dan merasakan dirinya sahaja yang betul.

3. Apa yang penting adalah kesedaran pada pentadbirnya supaya menjaga tingkah lakunya agar tidak ketara kelemahan tersebut. Lebih baik jika setiap manusia di dalam organisasi sentiasa melakukan muhasabah diri, mencari jalan memperbaiki kelemahan yang ada. Bukan menuding jari kepada orang lain atas kelemahan diri sendiri.

4. 1Malaysia yang diilhamkan oleh PM Najib adalah gagasan yang bagus dan relevan. Apa yang kurangnya ialah cara penyampaian maksud 1Malaysia itu sendiri. Inilah tugas yang berat perlu ditanggung oleh setiap penjawat awam supaya menerangkan maksud sebenar 1Malaysia kepada umum.

5. Salah penerangan boleh mengakibatkan pelbagai isu dan sensitiviti timbul. Salah pendekatan akan memburukkan keadaan, malah boleh menjerumuskan pihak yang terlibat ke dalam kacau bilau. Tidak semua isu boleh dipersetujui atas nama 1Malaysia.

6. Malah ia akan jadi perangkap kepada penjawat awam sendiri jika ia tidak dijelaskan dengan betul. Pembangkang juga akan menggunakan 1Malaysia ini untuk kepentingan mereka. Penjawat awam juga tidak perlu melatah jika dijentik oleh pembangkang.

7. Menteri dan Timbalan Menteri tidak perlu tunduk kepada desakan pembangkang. Pembangkang akan cuba menjadi jaguh pelbagai isu sedangkan mereka sendiri tidak ada kredibiliti untuk menjadi pemerintah sebaik atau sekurang-kurangnya hampir baik kepada BN.

01 December 2009

Tidak perlu rombak BTN

Salam sejahtera.

1. Biro Tatanegara (BTN), secara umumnya adalah satu badan yang menjalankan kursus kenegaraan kepada sesiapa sahaja, sama ada penjawat awam, swasta atau persendirian melalui organisasi masing-masing.

2. BTN tidak pernah meminta menyokong kerajaan pusat yang ditunjangi Barisan Nasional (BN), sebaliknya hanya menekankan mengenai kecintaan kepada negara dan memahami bagaimana negara Malaysia ini didirikan.

3. Oleh kerana kemerdekaan Malaysia dipelopori oleh Parti Perikatan ketika itu, maka secara tidak langsung ia dikaitkan dengan parti pemerintah yang ada sekarang. Itu hanya kebetulan sahaja. Jika pembangkang pada waktu itu menjadi pelopor kemerdekaan, sudah pasti ia akan disebut ketika kursus BTN.

4. Saya sendiri pernah mengikuti kursus kenegaraan BTN ini, saya tidak nampak ia memaksa kami sebagai peserta untuk menyokong BN. Malah ramai juga rakan-rakan saya yang masih menyokong pembangkang walaupun pernah menghadiri kursus BTN.

5. Saya juga kesal dengan sikap kerajaan pusat yang 'melatah' dengan taktik pembangkang yang mengkritik BTN ini. Tindakan kerajaan pusat untuk merombak kursus BTN seolah-olah mengiakan sahaja helah pembangkang yang bencikan kursus kenegaraan ini. Berilah apa jua alasan, namun saya berpendapat kerajaan tidak perlu merombak kursus BTN.

6. Saya juga ingin mencadangkan supaya mewajibkan semua ahli parlimen menyertai kursus kenegaraan BTN supaya wujud rasa cinta dan setia kepada negara. Bukannya sewenang-wenangnya mendedahkan keburukan negara Malaysia ini.

20 October 2009

Sesi Santai: Sebuah Perjalanan Penipuan

Salam sejahtera.

Ini adalah sebuah kisah benar yang diceritakan oleh rakan saya kepada saya. Ceritanya tentang apa yang berlaku selepas merancang hendak menipu.

Begini ceritanya:

Tersebutlah kisah seorang sahabat ini yang berkira-kira malas hendak pergi bekerja pada hari Isnin. Sudah diberi cuti Jumaat, Sabtu dan Ahad, Isnin pun hendak dilanggarnya juga. Lalu timbullah di dalam mindanya yang ingin mengambil cuti M.C. pada Isnin. Setelah selesai merancang hendak menipu, maka bermulalah beliau.

Pertamanya, beliau menghantar SMS kepada sahabat tempat kerjanya mengatakan bahawa beliau tidak dapat datang ke tempat kerja pada Isnin kerana demam. Sahabat sekerjanya membalas dengan tanda faham. Setelah itu, beliau menghubungi saudara nya di sebuah klinik kesihatan dengan meminta M.C palsu. Saudara beliau juga faham dengan rancangan beliau itu. Lalu satu janji temu diadakan di klinik kesihatan itu sebelum jam 5 untuk memudahkan penulisan M.C. palsu itu.

Setelah segalanya selesai, maka beliau pun pulang ke kampung halamannya untuk bercuti dan cuti tambahan. Malangnya pula, beliau terlupa untuk membeli tiket ke ibu kota sehingga sampai hari yang terakhir cuti tambahan itu iaitu Isnin. Malang bertambah malang, tiket ke ibu kota habis pula dijual, lalu dengan pencarian yang mendalam, dapatlah jua beliau satu tiket ke ibu kota daripada syarikat *** ****.

Lebih menambah malang pula, tiket beliau hanya dapat pada waktu 2.30 petang sahaja. Apabila membuat perhitungan waktu, beliau tidak sempat untuk sampai ke ibu kota dan klinik kesihatan itu sebelum jam 5. Kemudian beliau menelefon saudaranya itu dan saudaranya itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana jika selepas jam 5, sukar untuknya membuat M.C. palsu kerana doktor lain akan bertugas, bukan doktor kenalannya.

Beliau bertambah pening kepala, hendak ditambah satu hari lagi M.C. palsu, rahsianya akan terbongkar. Dengan nekadnya, beliau pulang juga ke ibu kota pada jam 2.30 petang itu. Saudaranya menelefonnya kembali dengan khabar yang sedikit sahaja gembiranya. Saudaranya hanya boleh membuat 'time-slip' sahaja, iaitu pelepasan daripada kerja mengikut jam. Oleh kerana kerjanya hanya ke tengah hari, maka beliau bersetuju dengan saranan saudaranya itu. Saudaranya meminta beliau mengambil 'time-slip' itu sebelum jam 9.30 malam kerana waktu kerja saudaranya itu habis pada jam tersebut.

Ketika dalam perjalanan, beliau terlupa bahawa syarikat *** **** ini tidak masuk ke lebuh raya terus sebaliknya mengambil penumpang di beberapa bandar kecil sebelum memasuki lebuh raya. Beliau hanya menepuk dahi. Bertambah lewatlah beliau untuk sampai ke ibu kota dan mengambil 'time-slip' daripada saudaranya. Sudah jatuh di timpa tangga, barangkali. Bas itu bergerak dengan sungguh 'sopan' dan berhenti rehat di luar lebuh raya, sebelum meneruskan perjalanan kembali di lebuh raya.

Akhirnya beliau tiba di ibu kota jam 7.30 malam. Sudah 5 jam beliau di atas bas sedangkan perjalanan sebenar cuma 3 jam sahaja. Dengan menaiki LRT, beliau turun di stesen *** dan berjalan kaki ke rumah sewa nya. Sekali lagi beliau mengeluh, berjalan kaki dari stesen ke rumahnya akan memenatkannya tetapi apakan daya, beliau terpaksa jua berjalan kaki kerana jika tidak, rakan serumahnya akan tahu beliau menipu. Setelah itu, beliau memandu keretanya senyap-senyap dari selatan ibu kota ke utara ibu kota untuk mengambil 'time-slip' itu.

Nasib beliau sedikit baik. Beliau tiba di klinik tersebut pada jam 8.30 malam. Setelah mengambil 'time-slip' itu, beliau ingin menambah 'make-up' pada lakonan menipu beliau. Memandu lah beliau dari barat ibu kota ke timur ibu kota mencari sebuah pusat beli-belah untuk membeli koyok. Perut pula terasa lapar. Beliau singgah di restoran untuk makan malam. Ketika ingin membeli koyok, koyok pula kehabisan. Hendak cari di kedai lain, lambat pulang pula ke rumah. Apa pula kata rakan serumah beliau. Beliau sudah mengatakan ingin pulang tetapi masih tidak sampai ke rumah.

Beliau membeli sebotol minyak angin cap dua singa Kwan Loong sebagai bahan lakonan. Tiba di rumah, rakan-rakan lain tidak mengesyaki apa-apa. Fikir beliau, selamatlah hari itu walaupun kepenatan dan kehabisan duit belanja. Beliau terus ke katil dan terus tidur sebagai tanda keletihan (Letih yang betul, bukan lakonan). Lalu beliau menyedari sesuatu....

Moralnya: Tak payah lah merancang untuk menipu. Menipu itu akan menyusahkan diri sendiri dan membazirkan duit sendiri.


19 October 2009

UMNO tidur sejak 2004


Salam perubahan.

Mengapa perubahan? Kerana itu yang diharapkan oleh Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Razak ketika perhimpunan agung UMNO 13-16 Oktober lalu. Persoalan di sini, mampukah UMNO berubah?

Saya yakin, dengan sedikit usaha dan kerajinan, UMNO boleh kembali kepada mercu kejayaan seperti yang dikecapi masa lalu. Tinggal hanya ahli-ahli dan perwakilan yang hadir ketika persidangan minggu lalu sahaja yang boleh menggerakkan seluruh akar umbi, menyahut seruan YAB Presiden UMNO untuk berubah.

Pengajaran daripada kekurangan kerusi di DUN dan Parlimen pada PRU-12, 2008 lalu harus dinilai oleh UMNO. UMNO, sejak 2004, setelah mencapai kemenangan besar terasa begitu selamat dan akhirnya tidur lena tanpa bangun berwaspada. Akibatnya, kuasa politik Melayu hampir terlepas ke tangan yang tidak sepatutnya.

UMNO telah selamat ditidurkan oleh barisan lama Tun Abdullah Ahmad Badawi sejak PRU-11, 2004 hingga PRU-12, 2008. Saat itu, UMNO terlalu yakin rakyat selesa berada bersama-sama UMNO namun hakikatnya tidak, malah lebih teruk lagi apabila permintaan demi permintaan daripada pihak lain dipenuhi tanpa banyak bicara seperti istilahnya, "pijak kepala".

Sikap yang diamalkan oleh pentadbiran Tun Abdullah hampir meranapkan negara dan menjerumuskan negara ke arah kacau bilau. Justeru itu, tonik membangunkan UMNO harus ditambah dengan sebegitu banyak supaya 'mata' UMNO tidak kuyu lagi, 'badan' UMNO tidak letih dan 'minda' UMNO sentiasa segar dengan pemikiran baharu.

Ayuhlah, sama-sama kita bangunkan UMNO daripada tidurnya yang panjang, sejak 5 tahun lalu. Jangan lupa kejutkan rakan sebelah yang tidur itu. Jika tidak 'terjaga', simbahlah dengan 'air', bukan dengan 'api'!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Sila berikan komen dengan menyatakan nama anda. Komen dengan menggunakan nama Anonymous bermakna anda adalah seorang pengecut yang tidak berani bertanggungjawab terhadap komen anda sendiri.