PENAFIAN (DISCLAIMER)

Pihak penulis "Fikiran Kami" tidak akan bertanggungjawab atas segala hal yang akan terjadi hasil daripada nukilan di blog ini. Tulisan yang diterbitkan di blog ini hanya cetusan pendapat dan pandangan peribadi penulis ataupun pautan sumber-sumber yang dipilih.

Yang Mengikuti

31 May 2008

Ketuanan Melayu atau Ketuanya Melayu? Bahagian 1

Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.

Salam pertemuan.


Batu Pahat Sungai Kundur,


Tempat tumbuh paku dulang,


Kalau jahat baiklah undur,


Jangan menyakit hati orang.


Negara ini namanya Malaysia. Malaysia seperti yang dinyatakan Tunku Abdul Rahman, bermaksud “Melayu di Asia”. Cita-citanya untuk menaikkan martabat bangsa Melayu menuju peringkat global. Sebelum wujudnya nama Malaysia, daerah ini telah lama dikenali dengan Semenanjung Tanah Melayu. Mengapa Tanah Melayu?

Ini disebabkan tanah ini telah didiami oleh orang Melayu sekian lama tanpa sebarang persoalan oleh bangsa-bangsa lain. Dan suatu ketika dahulu bahasa Melayu menjadi salah satu lingua franca di seluruh Nusantara hingga menyebabkan mereka yang ingin datang berdagang di sini perlu menguasai bahasa Melayu.

Isu ketuanan Melayu timbul setelah melihatkan keputusan PRU-12 yang lalu. Undi-undi rakyat banyak berpihak kepada pembangkang yang menggelarkan diri sebagai Pakatan Rakyat, hasil gabungan parti DAP, PKR, dan PAS. Mereka bukanlah satu entiti seperti Barisan Nasional, tetapi hanya bergerak menggunakan “nama samaran” walhal mereka masih parti yang berlainan yang tidak ada jawatankuasa peringkat pusat yang menyatukan ketiga-tiga parti tersebut.

Ketuanan Melayu disorak sorai oleh mereka yang risau akan hilangnya kuasa politik orang Melayu di Malaysia, seperti yang berlaku di Singapura. Ingin saya tegaskan di sini, kita tak perlu bimbang dengan ketuanan Melayu kerana kita sudah dijamin di dalam perlembagaan, kita mempunyai seorang Raja yang kita gelarkan “Yang Di-Pertuan Agong” sebagai “tuan” Malaysia ini. Untuk menghapuskan ketuanan Melayu ini amatlah sukar kerana ia memerlukan pindaan perlembagaan dan memerlukan persetujuan daripada majoriti rakyat Malaysia yang kita tahu bahawa Melayu adalah majoriti.

Tidak mustahil juga jika orang Melayu sendiri yang akan menghapuskan sistem raja ini di masa hadapan. Itu pun jika sudah kemaruk kuasa atau disogok oleh bangsa lain yang cemburu melihatkan “ketuanan” kita. Mereka yang cemburu ini ingin memastikan “tuan” negara ini bukan milik orang Melayu. Maka timbullah sejarah yang direka-reka oleh orang-orang ini bagi membuktikan bahawa tidak ada sesiapapun berhak mengaku tanah ini adalah tanah mereka.

Kononnya atas dasar sama rata, setiap kaum berhak menjadi “tuan” negara ini jika mereka mampu. Terang-terang mereka menolak sejarah dan menganggap sejarah itu hanya satu cebis kisah yang tak perlu diulangi lagi. Bangsa mana yang menguasai ekonomi itulah yang harus menjadi kuasa politik sesebuah negara. Dogma sama yang berlaku di negara jiran kita yang telah lama hilang kedaulatan Melayu.

Bersambung...


30 May 2008

Prinsip PAS tubuh negara Islam semakin kabur?

Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.

Memetik daripada ruangan forum Utusan Malaysia Online, seorang penulis yang memperkenalkan dirinya sebagai Jamliah dari Kuala Lumpur sebagai berkata:

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali selaku salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri telah membuat satu kenyataan yang amat meyakinkan semasa sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 26 Mei lalu. Kenyataan beliau berbunyi: "Tidak pernah berjanji akan menjadikan Malaysia negara Islam, tidak berjanji akan menutup tempat-tempat maksiat; kilang arak dan pusat hiburan".

Adakah kini Pas menukar perjuangan atau memang dari dulu bukan pembentukan negara Islam yang menjadi asas perjuangan mereka?

Jika mereka terpaksa menukar prinsip perjuangan demi Pakatan Rakyat, maka tahniah DAP, dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika pada tahun 80-an dahulu, Pas cuba menarik Anwar menyertai mereka tapi gagal, tapi kini ternyata Anwar berjaya menarik Pas menyertai perjuangannya. Adakah ini bermakna Pas akan dibubarkan atau adakah kemungkinan Anwar bakal menjadi Tuan Guru atau Mursyidul Pas yang akan datang?

Jika ini tidak pernah menjadi asas perjuangan Pas, maka tertipulah saya dan kawan-kawan dalam jemaah semasa di universiti dahulu. Pemimpin-pemimpin Pas dalam kaset-kaset yang diedarkan menyatakan UMNO taghut dan sekular kerana tidak menegakkan daulah Islamiah. Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata "Undi UMNO bermakna menolak Pas. Menolak Pas bermakna menolak negara Islam. Maka tidak akan masuk syurga sesiapa yang menolak negara Islam". Berapa ramai anak muda terpengaruh semasa itu sehingga menimbulkan ketegangan dalam keluarga kerana krisis fahaman politik yang berbeza. Apakah rakyat Malaysia sudah lupa ketaksuban politik Pas terhadap UMNO pada tahun-tahun 70-an dan 80-an dahulu sehingga menimbulkan isu kafir-mengkafir.

Saya dan rakan-rakan yang kebingungan kini mengharapkan penjelasan Pas mengenai perkara itu. Mengapakah bersekongkol dengan DAP, ekstremis bangsa Cina dan PKR, gabungan Parti Sosialis dan Parti Keadilan yang memperjuangkan supaya Anwar menjadi Perdana Menteri.

Pengarang: Tegas penulis ini, nyata dia pernah bersama mengikuti gerakan mahasiswa yang pro-PAS kerana percaya pada ketika itu PAS adalah benar-benar memperjuangkan Islam dan melihat UMNO sebagai assabiyah, kafir dan segala yang negatif. Tetapi setelah lebih 20 tahun berlalu, nampaknya PAS telah menolak perjuangannya selama ini demi menjaga hati abang besar mereka (DAP) dan jelas malah terang lagi bersuluh fatwa yang mengatakan haram bekerjasama dengan bukan Islam kini berbalik semula kepada mereka. Fikir-fikirkanlah wahai ahli-ahli PAS.

06 April 2008

PAS perlu sertai BN

Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.

Bendera PAS ketika di dalam BN


Salam pertemuan.

Tajuk pos kali ini mungkin mendatangkan seribu persoalan. Atau setidak-tidaknya ada juga persoalan yang akan timbul. Apa perlunya PAS sertai BN?

Sejarah telah tertulis, ketika Barisan Nasional mula ditubuhkan pada awal 70-an, parti PAS adalah salah satu pengasasnya. Kepentingan perpaduan rakyat khususnya orang Melayu dilihat sebagai agenda utama ketika itu. Atas dasar itu, PAS bersedia bersama-sama dengan lain-lain komponen BN untuk menjadi kerajaan. Tempoh ini dianggap sebagai "penyatuan orang Melayu" walaupun masing-masing mengikut ideologi parti masing-masing tetapi ia masih di anggap satu parti iaitu BN.

Setelah tidak berapa lama di dalam parti, dan mungkin disebabkan oleh perginya Tun Abdul Razak mengadap Ilahi, PAS keluar dari BN pada tahun 1978. Tun Abdul Razak yang bertanggungjawab menubuhkan BN ini dan tindakan beraninya mengajak parti pembangkang pada 1969 menyertai BN telah menyelamatkan politik Malaysia. Dan jika Tun Abdul Razak tidak pergi dahulu ke Rahmatullah, besar kemungkinan PAS masih lagi di dalam BN hingga kini.

PAS pada awal 80-an iaitu setelah keluar dari BN dipengaruhi oleh Revolusi Iran yang menyebakan kejatuhan kerajaan beraja Iran yang sekular dan digantikan oleh Republik Islam Iran diketuai seorang pemimpin tertinggi (seperti Mursyidul Am PAS ketika ini). Dan kebanyakan ahli-ahli PAS terpengaruh dengan gerakan Revolusi ini dan mereka menolak kebanyakan pemimpin tertinggi PAS seperti Datuk Mohd. Asri Muda.

Apa yang dikesalkan di sini ialah, golongan yang mengaku sebagai ulama' di dalam PAS ini sebenarnya tidak ubah seperti golongan Syiah yang menentang saudara seagama sendiri kerana disebabkan hal-hal yang kecil. Mereka memisahkan diri dengan Ahli Sunnah wal Jamaah kerana pendirian mereka yang tidak sama dalam beberapa hal.

Jika dikaitkan denga persekitaran sekarang, PAS rela bekerjasama dengan DAP yang terang lagi bersuluh menjunjung amalan sekular dibandingkan dengan ideologi negara Islam PAS. Mengapa PAS tidak mahu bekerjasama dengan BN/UMNO? Apakah UMNO sudah kafir? Siapa PAS untuk menentukan kekafiran seseorang? Adakah orang-orang UMNO yang masih mengaku ALLAH adalah tuhan yang wajib disembah dan Nabi Muhammad sebagai rasul Allah, dicap sebagai kafir? Adakah "kafirnya" UMNO ini lebih hina daripada kafir golongan bukan Islam DAP itu?

Saya percaya golongan profesional yang menyertai PAS adalah berfikiran terbuka dan tidak terikat pada pandangan golongan ulama' di dalam PAS itu sendiri dan saya yakin mereka sedia bekerjasama dengan BN/UMNO jika diberikan ruang dan tidak mustahil mereka akan menyertai BN demi menyelamatkan maruah dan kekuasaan politik orang-orang Melayu Islam.

Dan saya juga ingin menyeru kepada ahli-ahli PAS akar umbi supaya berfikir mengenai pentingnya ketuanan politik orang Melayu. Adalah lebih sukar untuk melihat Islam itu berkembang di bawah pemerintahan orang bukan Melayu/Islam berbanding dengan pemerintahan orang Melayu/Islam.

Jadi perlunya kerjasama PAS-UMNO di dalam BN supaya undi orang Melayu tidak berpecah. Sekaligus akan meningkatkan kerjasama orang-orang Melayu Islam sendiri dan secara tak langsung mengukuhkan perpaduan Islam sendiri.

p/s: Kita selalu mendoakan keselamatan orang-orang Palestin tetapi mereka sendiri tidak bersatu walaupun majoritinya beragama Islam. Fatah dan Hamas sendiri asyik berbalah. Jika direnung kata-kata Hj. Hadi, "kita hanya akan berunding jika mengenai perpaduan Islam, bukan perpaduan Melayu". Mengapa di Palestin tidak berlakunya perpaduan sesama Islam?


02 April 2008

Apakah perjuangan PAS ketika ini?

Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.

Di sebalik kehangatan usaha-usaha bagi melakukan perubahan di dalam UMNO,terbaru iaitu semalam dengan Kumpulan Menyokong UMNO (MYKMU) menganjurkan forum "UMNO Pasca Pilihanraya Umum Ke 12:Satu Penilaian",pihak pembangkang iaitu PAS,PKR dan DAP pula telah mengumumkan langkah terbaru mereka untuk mengeratkan lagi kerjasama ketiga-tiga parti tersebut,dengan mengumumkan pembentukan Pakatan Rakyat.

Akhirnya,setelah 3 kali PRU mereka bersatu di bawah Barisan Alternatif,dan kemudiannya bertukar menjadi Barisan Rakyat,dan setelah berkali-kali dihentam oleh Barisan Nasional yang menggelarkan mereka pakatan main-main sahaja,mereka akhirnya telah sepakat untuk mewujudkan satu pakatan yang lebih erat,berbanding pakatan-pakatan mereka yang terdahulu.

Pakatan ini terdiri daripada 2 parti yang hampir sama iaitu PKR dan DAP yakni dari segi dasarnya yang menyatakan bahawa mereka adalah parti berbilang kaum,dan satu lagi parti yang dahulunya begitu gah memperjuangkan konsep negara Islam mengikut acuan mereka sendiri,iaitu PAS.Kalau dikaji dengan lebih teliti,di antara ketiga-tiga parti tersebut,PKRlah yang lebih "multi-racial".DAP pula lebih kepada parti bukan Melayu,sungguhpun terdapat segelintir ahli Melayu beragama Islam,manakala PAS pula,memandangkan parti ini menggunakan Islam sebagai modal politiknya,maka tidak hairanlah sekiranya ada bukan Melayu yang beragama Islam,cuma baru-baru ini sahaja terdapat seorang bukan Islam yang merupakan ahli kelab yang menyokong PAS,itu pun bertanding di atas tiket PKR.

Sebelum mengulas dengan lebih lanjut mengenai PR ini,eloklah kita lihat kembali sedikit sebanyak mengenai sejarah penubuhan PAS.Berikut adalah sebahagian daripada maklumat yang diambil daripada Wikipedia memandangkan tidak ada maklumat sejarah yang diselitkan di laman web rasmi PAS (sekiranya ada,tolong sampaikan kepada penulis ya?)

PAS atau Persatuan Islam Se-Malaya (nama asalnya) adalah satu-satunya pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan kepada Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948.

Golongan reformasi ini bukan sahaja berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam, tetapi turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah.


Jelaslah bahawa matlamat asal penubuhan PAS adalah untuk menubuhkan negara Islam.Setelah isu ini menjadi persoalan untuk agak lama,pada tahun 2001,Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Datuk Seri(kini Tun) Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan secara terbuka bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.Berikut adalah keratan akhbar Utusan Malaysia:

Malaysia negara Islam - PM -- Dr. Mahathir sahut cabaran Fadzil Noor

Oleh: ASUKI ABAS dan NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini secara terbuka menyahut cabaran Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor dengan menegaskan bahawa Malaysia adalah negara Islam yang selari dengan ajaran Islam.

Menurut Perdana Menteri, rakyat bukan Islam mempunyai hak untuk menganggap negara ini sebagai sebuah negara sekular tetapi parti peneraju kerajaan iaitu UMNO menganggap Malaysia sudah memenuhi syarat yang cukup untuk mengaku sebagai negara Islam.

``Ya (mengaku secara rasmi Malaysia adalah sebuah negara Islam), kita dah berkali-kali kata dan parti lawan tidak perlu tanya lagi; memang Malaysia sebuah negara Islam kerana definisi negara Islam ini luas.

``Jadi kita hendak tahu apa dia negara Islam yang dia (parti Pas) sebenarnya hendak, kerana kita sudah ada (negara Islam),'' katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar ketika diminta mengulas ucapan yang disampaikannya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-30 di sini.

Sungguhpun begitu,pada PRU tahun 2004,PAS menyatakan dalam manifestonya bahawa mereka akan menubuhkan kerajaan Islam mengikut tafsiran mereka kerana bagi mereka,Malaysia masih belum lagi layak untuk digelar sebagai negara Islam.Mungkin ini disebabkan oleh kenyataan Presiden PAS pada tahun 2001,arwah Datuk Fadzil Noor mengatakan seperti berikut:

"Konsep negara Islam adalah luas dan tidak berpandukan kepada hudud semata-mata. Salah satu darinya ialah syariat Islam yang sepatutnya diletakkan sebagai sumber tertinggi dalam perundangan negara. Tetapi, ia tidak terdapat dalam perlembagaan negara," katanya.

Katanya sesuatu kerajaan itu tidak boleh mengatakan negara itu Islam dengan hanya mendirikan masjid.

"Kalau kita lihat, Thailand pun dirikan masjid tetapi ia bukan negara Islam," katanya.

Utusan Malaysia,1 Okt 2001
Itu dulu.Sekarang mereka sudah berubah pendapat.Dalam PRU 12 baru-baru ini


Exco Perak tidak seimbang?

Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.


Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengemukakan barisan Exco Kerajaan Campuran DAP-PKR-PAS Perak. Barisan yang terdiri daripada 6 EXCO DAP, 3 PKR, dan 1 PAS tidak termasuk jawatan Menteri Besar. Daripada komposisi itu, 6 orang adalah kaum Cina, 3 orang Melayu dan 1 kaum India.

Jelaslah bahawa ada agenda tersembunyi di sebalik barisan EXCO baru ini. Negeri Perak terdiri lebih 50% kaum Melayu. Jika fakta ini diambil kira, mengapa hanya 3 sahaja EXCO Melayu? MB Nizar sudah tentu sukar untuk menjalankan tanggungjawab untuk menjaga kepentingan Melayu (jika benar dia ingin menjaga kepentingan bangsanya sendiri) kerana akan "diasak" oleh EXCO DAP kaum Cina.

Di mana-mana sudut dunia ini, dalam sesebuah kerajaan, golongan majoriti akan mudah membuat sesuatu perkara tanpa perlu persetujuan minoriti. Dalam kes ini, Perak, majoritinya adalah Melayu, tetapi pembuat keputusannya adalah kaum Cina. Benarkah seperti kata sesetengah pihak yang penulis dengar, "orang Melayu akan terjaga kepentingannya kerana MBnya adalah Melayu" walaupun majoriti kerajaannya adalah Cina?

Bagi penulis, orang yang mengeluarkan penyataan ini tidak memahami konsep kekuasaan sesebuah kerajaan. Sesebuah masyarakat majoriti perlukan komposisi yang juga majoriti dalam sesuatu pentadbiran supaya seimbang dengan nisbah masyarakat. Ini untuk memudahkan sesuatu aduan atau harapan rakyat dapat disampaikan.

Penulis merasa kesal kerana orang Islam sendiri tidak mahu bekerjasama sesama orang Islam. Malah sanggup bekerjasama dengan orang bukan Islam yang selama ini secara terang-terangan menentang Islam. Perbuatan ini seolah-olah menyamai sifat-sifat golongan Syiah. Jika kita membaca sejarah, kita pasti dapat tahu golongan Syiah tidak akan bekerjasama dengan ahl-Sunnah wal-Jamaah. Juga terdapat pemimpin Syiah yang sanggup mengkafirkan golongan ahl-Sunnah ini.

Kini negeri Perak, tidak ubah seperti Singapura yang mana kerajaannya tidak mengikut komposisi kaum yang ada. Di Singapura, walaupun orang Melayu membentuk peratusan kedua terbesar, tetapi hanya ada seorang menteri sahaja. Sedangkan kaum India yang ketiga terbesar pula dapat menjawat pelbagai jawatan, malah dilantik menjadi Presiden Singapura. Kali pertama dan terakhir seorang Presiden Melayu ialah Tun Yusof Ishak ketika era Singapura baru merdeka. Jika alasannya tiada orang Melayu yang berkelayakan, adalah sangat mustahil. Ada di antara orang Melayu Singapura yang berkaliber dan berdedikasi, bukannya tidak ada langsung.

Teringat penulis pada seorang rakan penulis yang berpihak pada pembangkang. Katanya sebelum pilihan raya, "Haram bagi orang Islam mengundi bukan Islam kerana kita akan menanggung dosanya nanti," Tetapi lain pula nadanya setelah pilihan raya, "Kita patut undi bukan Islam kalau dia bawa faedah pada kita," Rasa keliru, namun itulah hakikatnya. Penulis tak pernah lupa ayat-ayat yang dikeluarkan oleh rakan penulis yang seorang ini. Terbukti katanya sekejap tak boleh, sekejap boleh. Mana pendiriannya?

Adakah pasti kaum lain akan menjaga kepentingan Melayu? Sudah tentu tidak kerana hanya kitalah sebagai orang Melayu yang wajib menjaga kepentingan kita, kaum lain akan menjaga kepentingan kaum masing-masing, atau anda boleh membuat pilihan supaya Malaysia menjadi seperti Singapura atau sekurang-kurangnya seperti Pulau Pinang.

13 March 2008

Pentingnya perpaduan orang Melayu

Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.

Sebagai seorang anak Perak, saya rasa terpanggil untuk menulis setelah melihat keadaan yang berlaku di negeri kelahiran saya. Namun, sebelum itu,ingin saya tegaskan di sini bahawa ini merupakan pandangan peribadi saya, seorang penyokong UMNO, dan BUKANNYA mewakili mana-mana pihak.

Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kempen pilihanraya bagi Barisan Nasional dan UMNO. Sungguhpun saya bukanlah sebahagian daripada jentera pilihanraya, namun usaha gigih saudara dan saudari sekalian telah memastikan BN, terutamanya UMNO memenangi jumlah kerusi DUN terbanyak di Perak, tetap saya ingati.

Walaubagaimanapun, sayang sekali kerana BN tidak dapat lagi membentuk kerajaan di Perak kerana kekurangan hanya 2 kerusi untuk mencapai majoriti mudah.

Sebaliknya, PAS, DAP dan PKR pula yang akan membentuk kerajaan campuran, dengan DAP(18 kerusi) mempunyai jumlah kerusi terbanyak, lebih banyak daripada jumlah kerusi PAS(6) dan PKR(7). Sungguhpun kemungkinan besar jawatan Menteri Besar Perak akan diserahkan kepada seorang Melayu yang beragama Islam, selari dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, namun, kerajaan negeri sudah hampir pasti dikuasai oleh DAP, dan ini bakal menjadikan pentadbiran kerajaan negeri Perak lebih kurang sama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang yang baru.

Cuba fikirkanlah apa yang mungkin terjadi kepada orang Melayu Islam di Perak. Mungkin orang Melayu Islam yang menjadi MB hanya mampu berkuasa dari segi bidang hal ehwal agama Islam, tidak ubah seperti yang berlaku ketika zaman penjajah British. Sekiranya ini berlaku, MB ataupun Exco Melayu tidak lebih dari “Chief Kadi” .

Situasi yang merisaukan ini tidak akan berlaku andai kata ada dikalangan ADUN Melayu Islam pembangkang, ambil contoh PAS mengambil keputusan untuk membentuk kerajaan campuran dengan BN Perak. Tetapi, melihatkan situasi kini, PAS lebih rela bekerjasama dengan DAP, sungguhpun kuasa mereka kelak akan jauh lebih kecil dari DAP. Sikap PAS Perak ini menyebabkan banyak yang marah dan risau, terutamanya ahli-ahli dan penyokong-penyokong UMNO, termasuk saya sendiri.

Namun begitu, kita sebagai ahli dan penyokong UMNO juga perlu mencari sebab, mengapakah PAS bersikap degil sedemikian rupa? Kita tolak dahulu cita-cita PAS untuk merasai kuasa memerintah, sebaliknya, kita fikirkan kembali, adakah sikap kita selama ini yang turut menyumbang ke arah kedegilan mereka? Adakah kita pernah melakukan sesuatu yang menyebabkan mereka begitu marah terhadap kita, bahkan lebih mempercayai DAP berbanding orang yang seagama dan sebangsa dengan mereka, tatkala nasib diri sendiri dan orang yang seagama dan sebangsa menjadi teka-teki? Kita jangan sahaja menuding jari kepada orang lain, malah perlu mengakui kesilapan kita sekiranya ada dan belajar dari kesilapan tersebut.Jangan jadi macam sesetengah orang tu.

Tolaklah pemimpin yang lemah dan korup, tidak kira di peringkat mana sekali pun sekiranya ada. Mereka-mereka inilah yang akan memberi imej yang buruk kepada parti, sungguhpun ahli dan penyokong yang baik jauh lebih banyak daripada mereka. Mungkin imej buruk yang dibawa mereka inilah yang menyebabkan sesetengah pihak menjauhi kita, seterusnya merugikan agama,bangsa dan tanahair kita juga. Kepada yang bersekongkol dengan mereka yang merosakkan agama,bangsa dan tanahair, INGAT, jangan sangka SEMUA Melayu mudah lupa.


Teruskanlah usaha untuk menyatu-padukan orang Melayu dan menyelamatkan UMNO.

“Melayu hanya boleh selamat apabila kuat,dan kuat apabila bersatu-padu”-Dato Onn

12 March 2008

Salam Perkenalan

Salam Malaysia!

Lahirnya blog ini sebagai refleksi kepada keputusan PRU-12 yang baru sahaja berlalu pada 8 Mac 2008 yang menyaksikan parti pemerintah kerajaan iaitu Barisan Nasional yang selama ini memegang tampuk kuasa majoriti dua pertiga, telah dinafikan oleh pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS.

Sebagai anak muda yang masih mentah dalam dunia politik, adalah tidak salah bagi saya untuk memberikan pendapat mengenai suasana politik di Malaysia. Barangkali ada yang berpandangan anak muda seperti saya tidak perlu memberi pandangan terhadap politik kerana tidak tahu selok-belok dunia politik, tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya berhak untuk memperkatakan tentangnya kerana ia akan melibatkan masa depan saya.

Saya tidak mahu masa depan saya diperjudi akibat pergolakan politik yang menyebabkan suasana tidak tenteram di Malaysia. Ikutilah pandangan yang terbit dari isi hati saya yang kadangkala pedas, sensitif dan mungkin cadangan atau sokongan yang akan saya terbitkan di blog ini.

11 March 2008

Kerajaan Boneka Perak


Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.

Salam Perpaduan!

Umum mengetahui bahawa 5 kerajaan negeri telah berjaya ditawan oleh pakatan DAP-PKR-PAS dalam PRU-12 yang lalu termasuklah negeri Perak iaitu negeri kelahiran dan tempat membesar saya sejak 22 tahun nan silam.

Kalau diceritakan perbezaan antara dulu dan sekarang, memanglah banyak bezanya. Dan ini semua adalah hasil penat lelah kerajaan BN yang memerintah sejak merdeka hingga tarikh 8 Mac 2008 yang lalu.

Apa yang saya ingin katakan di sini, adalah dapatkah kerajaan "barisan rakyat" Perak akan kukuh daripada tiga parti pakatan ini? DAP sudah tentu tidak bersetuju dengan polisi PAS dan begitu juga sebaliknya. Apakah ini tanda "muafakat" antara mereka?

Media telah melaporkan, DAP tidak bersetuju dengan pelantikan MB daripada PAS kerana kerusi yang dimenangi adalah yang paling sedikit antara ketiga pakatan ini. Manakala PKR pula mengancam untuk menarik diri daripada pakatan jika bilangan exco yang dimintanya tidak ditunaikan. PAS pula hanya berdiam diri.

Lihatlah betapa "kukuh"nya hubungan mereka. Sehingga DAP Pusat menegur DAP Perak kerana tindakan mereka untuk sedia bekerjasama dengan PAS yang kita ketahui sebagai "tiada kerjasama antara mereka"

PAS juga kelihatan angkuh dan sombong apabila cadangan untuk bergabung membentuk kerajaan campuran dengan BN ditolak mentah-mentah oleh wakil-wakil PAS. Mereka sanggup bekerjasama dengan DAP yang kita tahu anti-Melayu dan anti-monarki. Mereka kini sanggup menggadai maruah Melayu apabila berpakat dengan DAP. Ke mana hala tuju Melayu jika bersama-sama bernaung di bawah payung "roket"? Nasib Melayu mungkin sama seperti Pulau Pinang.

Kini, Ir. Mohamad Nizar Jamaludin telah selamat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak. Pembahagian EXCO Perak pula lebih kepada DAP daripada PKR dan PAS sendiri. Tunggu dan lihat sejauh mana pakatan ini dapat berjalan memerintah negeri Perak.

Orang Melayu PAS sangat berbangga apabila mengetahui wakil PAS menjadi Menteri Besar. Mungkin mereka tidak tahu hal kuasa politik orang Melayu apabila tidak melihatkan kerusi yang dimenangi DAP lebih banyak daripada PKR dan PAS. Wakil PAS itu sudah pasti hanya boneka bagi DAP demi memenuhi cita-cita Malaysian Malaysia mereka.

Sebagai memudahkan pemikiran, saya membuat analogi begini:
Terdapat sebuah kedai, yang dahulunya dimiliki oleh keluarga Melayu. Kedai ini asalnya bermula dengan sedikit barangan dan semakin lama semakin maju. Di kalangan pembeli lebih ramai Melayu dan penjaga kedai tersebut adalah seorang Melayu. Akibat perselisihan faham, kedai Melayu ini akhirnya dijual kepada orang Cina. Malah pengguna yang selalu membeli barangan juga bersetuju untuk menyerahkannya kepada Cina. Setelah menguasai kedai tersebut, mereka masih lagi meletakkan orang Melayu sebagai penjaga kedai itu, kononnya kedai itu masih lagi milik Melayu. Apabila hadir seorang pengguna untuk membeli barangan di kedai itu dan meminta tawaran harga, penjaga itu akan berkata, "Saya tidak berani menawarkan harga murah kepada anda, sila tanya kepada bos saya dahulu"


Apakah kesimpulannya di sini? Fikir-fikirkanlah.

Teringat pula SMS yang saya dapat sebelum PRU lalu.
"Sahaja aku keluar barisan, menaiki roket, menuju ke bulan, demi keadilan"

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Sila berikan komen dengan menyatakan nama anda. Komen dengan menggunakan nama Anonymous bermakna anda adalah seorang pengecut yang tidak berani bertanggungjawab terhadap komen anda sendiri.