PENAFIAN (DISCLAIMER)

Pihak penulis "Fikiran Kami" tidak akan bertanggungjawab atas segala hal yang akan terjadi hasil daripada nukilan di blog ini. Tulisan yang diterbitkan di blog ini hanya cetusan pendapat dan pandangan peribadi penulis ataupun pautan sumber-sumber yang dipilih.

Yang Mengikuti

13 March 2008

Pentingnya perpaduan orang Melayu

Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.

Sebagai seorang anak Perak, saya rasa terpanggil untuk menulis setelah melihat keadaan yang berlaku di negeri kelahiran saya. Namun, sebelum itu,ingin saya tegaskan di sini bahawa ini merupakan pandangan peribadi saya, seorang penyokong UMNO, dan BUKANNYA mewakili mana-mana pihak.

Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kempen pilihanraya bagi Barisan Nasional dan UMNO. Sungguhpun saya bukanlah sebahagian daripada jentera pilihanraya, namun usaha gigih saudara dan saudari sekalian telah memastikan BN, terutamanya UMNO memenangi jumlah kerusi DUN terbanyak di Perak, tetap saya ingati.

Walaubagaimanapun, sayang sekali kerana BN tidak dapat lagi membentuk kerajaan di Perak kerana kekurangan hanya 2 kerusi untuk mencapai majoriti mudah.

Sebaliknya, PAS, DAP dan PKR pula yang akan membentuk kerajaan campuran, dengan DAP(18 kerusi) mempunyai jumlah kerusi terbanyak, lebih banyak daripada jumlah kerusi PAS(6) dan PKR(7). Sungguhpun kemungkinan besar jawatan Menteri Besar Perak akan diserahkan kepada seorang Melayu yang beragama Islam, selari dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, namun, kerajaan negeri sudah hampir pasti dikuasai oleh DAP, dan ini bakal menjadikan pentadbiran kerajaan negeri Perak lebih kurang sama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang yang baru.

Cuba fikirkanlah apa yang mungkin terjadi kepada orang Melayu Islam di Perak. Mungkin orang Melayu Islam yang menjadi MB hanya mampu berkuasa dari segi bidang hal ehwal agama Islam, tidak ubah seperti yang berlaku ketika zaman penjajah British. Sekiranya ini berlaku, MB ataupun Exco Melayu tidak lebih dari “Chief Kadi” .

Situasi yang merisaukan ini tidak akan berlaku andai kata ada dikalangan ADUN Melayu Islam pembangkang, ambil contoh PAS mengambil keputusan untuk membentuk kerajaan campuran dengan BN Perak. Tetapi, melihatkan situasi kini, PAS lebih rela bekerjasama dengan DAP, sungguhpun kuasa mereka kelak akan jauh lebih kecil dari DAP. Sikap PAS Perak ini menyebabkan banyak yang marah dan risau, terutamanya ahli-ahli dan penyokong-penyokong UMNO, termasuk saya sendiri.

Namun begitu, kita sebagai ahli dan penyokong UMNO juga perlu mencari sebab, mengapakah PAS bersikap degil sedemikian rupa? Kita tolak dahulu cita-cita PAS untuk merasai kuasa memerintah, sebaliknya, kita fikirkan kembali, adakah sikap kita selama ini yang turut menyumbang ke arah kedegilan mereka? Adakah kita pernah melakukan sesuatu yang menyebabkan mereka begitu marah terhadap kita, bahkan lebih mempercayai DAP berbanding orang yang seagama dan sebangsa dengan mereka, tatkala nasib diri sendiri dan orang yang seagama dan sebangsa menjadi teka-teki? Kita jangan sahaja menuding jari kepada orang lain, malah perlu mengakui kesilapan kita sekiranya ada dan belajar dari kesilapan tersebut.Jangan jadi macam sesetengah orang tu.

Tolaklah pemimpin yang lemah dan korup, tidak kira di peringkat mana sekali pun sekiranya ada. Mereka-mereka inilah yang akan memberi imej yang buruk kepada parti, sungguhpun ahli dan penyokong yang baik jauh lebih banyak daripada mereka. Mungkin imej buruk yang dibawa mereka inilah yang menyebabkan sesetengah pihak menjauhi kita, seterusnya merugikan agama,bangsa dan tanahair kita juga. Kepada yang bersekongkol dengan mereka yang merosakkan agama,bangsa dan tanahair, INGAT, jangan sangka SEMUA Melayu mudah lupa.


Teruskanlah usaha untuk menyatu-padukan orang Melayu dan menyelamatkan UMNO.

“Melayu hanya boleh selamat apabila kuat,dan kuat apabila bersatu-padu”-Dato Onn

12 March 2008

Salam Perkenalan

Salam Malaysia!

Lahirnya blog ini sebagai refleksi kepada keputusan PRU-12 yang baru sahaja berlalu pada 8 Mac 2008 yang menyaksikan parti pemerintah kerajaan iaitu Barisan Nasional yang selama ini memegang tampuk kuasa majoriti dua pertiga, telah dinafikan oleh pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS.

Sebagai anak muda yang masih mentah dalam dunia politik, adalah tidak salah bagi saya untuk memberikan pendapat mengenai suasana politik di Malaysia. Barangkali ada yang berpandangan anak muda seperti saya tidak perlu memberi pandangan terhadap politik kerana tidak tahu selok-belok dunia politik, tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya berhak untuk memperkatakan tentangnya kerana ia akan melibatkan masa depan saya.

Saya tidak mahu masa depan saya diperjudi akibat pergolakan politik yang menyebabkan suasana tidak tenteram di Malaysia. Ikutilah pandangan yang terbit dari isi hati saya yang kadangkala pedas, sensitif dan mungkin cadangan atau sokongan yang akan saya terbitkan di blog ini.

11 March 2008

Kerajaan Boneka Perak


Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.

Salam Perpaduan!

Umum mengetahui bahawa 5 kerajaan negeri telah berjaya ditawan oleh pakatan DAP-PKR-PAS dalam PRU-12 yang lalu termasuklah negeri Perak iaitu negeri kelahiran dan tempat membesar saya sejak 22 tahun nan silam.

Kalau diceritakan perbezaan antara dulu dan sekarang, memanglah banyak bezanya. Dan ini semua adalah hasil penat lelah kerajaan BN yang memerintah sejak merdeka hingga tarikh 8 Mac 2008 yang lalu.

Apa yang saya ingin katakan di sini, adalah dapatkah kerajaan "barisan rakyat" Perak akan kukuh daripada tiga parti pakatan ini? DAP sudah tentu tidak bersetuju dengan polisi PAS dan begitu juga sebaliknya. Apakah ini tanda "muafakat" antara mereka?

Media telah melaporkan, DAP tidak bersetuju dengan pelantikan MB daripada PAS kerana kerusi yang dimenangi adalah yang paling sedikit antara ketiga pakatan ini. Manakala PKR pula mengancam untuk menarik diri daripada pakatan jika bilangan exco yang dimintanya tidak ditunaikan. PAS pula hanya berdiam diri.

Lihatlah betapa "kukuh"nya hubungan mereka. Sehingga DAP Pusat menegur DAP Perak kerana tindakan mereka untuk sedia bekerjasama dengan PAS yang kita ketahui sebagai "tiada kerjasama antara mereka"

PAS juga kelihatan angkuh dan sombong apabila cadangan untuk bergabung membentuk kerajaan campuran dengan BN ditolak mentah-mentah oleh wakil-wakil PAS. Mereka sanggup bekerjasama dengan DAP yang kita tahu anti-Melayu dan anti-monarki. Mereka kini sanggup menggadai maruah Melayu apabila berpakat dengan DAP. Ke mana hala tuju Melayu jika bersama-sama bernaung di bawah payung "roket"? Nasib Melayu mungkin sama seperti Pulau Pinang.

Kini, Ir. Mohamad Nizar Jamaludin telah selamat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak. Pembahagian EXCO Perak pula lebih kepada DAP daripada PKR dan PAS sendiri. Tunggu dan lihat sejauh mana pakatan ini dapat berjalan memerintah negeri Perak.

Orang Melayu PAS sangat berbangga apabila mengetahui wakil PAS menjadi Menteri Besar. Mungkin mereka tidak tahu hal kuasa politik orang Melayu apabila tidak melihatkan kerusi yang dimenangi DAP lebih banyak daripada PKR dan PAS. Wakil PAS itu sudah pasti hanya boneka bagi DAP demi memenuhi cita-cita Malaysian Malaysia mereka.

Sebagai memudahkan pemikiran, saya membuat analogi begini:
Terdapat sebuah kedai, yang dahulunya dimiliki oleh keluarga Melayu. Kedai ini asalnya bermula dengan sedikit barangan dan semakin lama semakin maju. Di kalangan pembeli lebih ramai Melayu dan penjaga kedai tersebut adalah seorang Melayu. Akibat perselisihan faham, kedai Melayu ini akhirnya dijual kepada orang Cina. Malah pengguna yang selalu membeli barangan juga bersetuju untuk menyerahkannya kepada Cina. Setelah menguasai kedai tersebut, mereka masih lagi meletakkan orang Melayu sebagai penjaga kedai itu, kononnya kedai itu masih lagi milik Melayu. Apabila hadir seorang pengguna untuk membeli barangan di kedai itu dan meminta tawaran harga, penjaga itu akan berkata, "Saya tidak berani menawarkan harga murah kepada anda, sila tanya kepada bos saya dahulu"


Apakah kesimpulannya di sini? Fikir-fikirkanlah.

Teringat pula SMS yang saya dapat sebelum PRU lalu.
"Sahaja aku keluar barisan, menaiki roket, menuju ke bulan, demi keadilan"

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Sila berikan komen dengan menyatakan nama anda. Komen dengan menggunakan nama Anonymous bermakna anda adalah seorang pengecut yang tidak berani bertanggungjawab terhadap komen anda sendiri.