PENAFIAN (DISCLAIMER)

Pihak penulis "Fikiran Kami" tidak akan bertanggungjawab atas segala hal yang akan terjadi hasil daripada nukilan di blog ini. Tulisan yang diterbitkan di blog ini hanya cetusan pendapat dan pandangan peribadi penulis ataupun pautan sumber-sumber yang dipilih.

Yang Mengikuti

31 December 2009

Salam Tahun Baharu 2010

Salam muhibbah.

1. Pertama sekali saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Indonesia dan keluarga Allahyarham Abdurrahman Wahid atau Gus Dur atas pemergiannya menghadap Yang Maha Esa.

2. Walaupun Gus Dur tidak memerintah dengan begitu lama, paling tidaknya beliau sudah membantu memimpin Indonesia pasca reformasi. Pasca reformasi Indonesia masih berada dalam keadaan tidak tenteram selepas kejatuhan Presiden Soeharto.

3. Tidak lupa, sempena kedatangan Tahun Baharu 2010, saya ingin mengucapkan selamat menempuh tahun yang baharu dan semoga tahun 2010 akan membawa rahmat dan keamanan kepada negara Malaysia tercinta ini.

4. Kepada rakan-rakan bloggers dan pembaca yang setia, terima kasih saya ucapkan atas kerjasama anda dan kesudian anda menjengah ke blog yang tidak seberapa ini. Jumpa lagi!

14 December 2009

Salah Kamu, Salah Kamu. Salah Aku, Salah Kamu

Salam sejahtera.

1. Sejak bergabung secara tidak sah selepas PRU-12 yang lalu, perjuangan PAS semakin kabur dan tidak jelas. Di satu pihak mahukan Islam, di satu pihak lagi mahukan liberal. Ada yang benar-benar tulen dalam memperjuang ideologi parti, ada yang tamakkan undi bukan Islam.

2. Sindrom penafian juga telah bercambah di dalam PAS. Apa sahaja isu yang timbul, seboleh-bolehnya tidak mahu disebarluaskan. Jalan mudah, menafikan sahaja apa yang datang.

3. Media massa sering menjadi mangsa keadaan. Jika media melaporkan keburukan parti BN, maka bergegarlah seantero PAS bersorak kegembiraan. Malangnya apabila media melaporkan keburukan PAS, disalahkan pula media, kononnya akan menampakkan kelemahan PAS.

4. Pemimpin-pemimpin PAS perlu belajar bagaimana menghadapi media. Bukan bercakap semberono dan kemudian menafikan pula ayat yang sudah dikatakan itu. Apatah lagi jika dirakam di dalam video. Seboleh-bolehnya hendak dikatakan bahawa bukan si dia yang berkata begitu. Itulah sindrom penafian yang merebak di dalam PAS.

5. Peliknya apabila yang salah itu BN, mereka dengan tegas menyatakan memang salah itu BN. Tetapi apabila yang salah daripada PAS, BN juga yang akan menjadi mangsa. BN juga akan dipersalahkan.

6. Usah berkokok mengenai kebebasan media jika fikiran sendiri dikongkong dengan pemikiran yang jumud dan takabbur. Seolah-olah menyatakan yang dirinya sahaja yang hebat, orang lain tak hebat. Dia sahajalah yang betul-betul Islam, yang lain tidak Islam. Dia sahaja yang dapat masuk syurga, orang lain tidak.

7. Berhenti menyalahkan orang lain. Tidak salah mengakui kesalahan sendiri. Orang yang mengakui salahnya sendiri dapat belajar supaya menjadi insan yang lebih bertaqwa dan tidak mengulangi kembali kesalahannya itu.

10 December 2009

1Malaysia boleh jadi perangkap

Salam muhibbah.

1. Akhir-akhir ini, banyak agensi kerajaan dipertikaikan kredibilitinya. Satu demi satu cuba dibongkar supaya menelanjangkan kelemahannya. Pembangkang cuba memainkan kelemahan agensi kerajaan agar rakyat lihat bahawa tiada agensi kerajaan yang benar-benar berwibawa.

2. Kelemahan tetap ada. Semua agensi terbabit ditadbir oleh manusia. Setiap manusia ada kelemahannya. Tidak tahu lah jika ada manusia yang menganggap dirinya suci tanpa ada dosa dan merasakan dirinya sahaja yang betul.

3. Apa yang penting adalah kesedaran pada pentadbirnya supaya menjaga tingkah lakunya agar tidak ketara kelemahan tersebut. Lebih baik jika setiap manusia di dalam organisasi sentiasa melakukan muhasabah diri, mencari jalan memperbaiki kelemahan yang ada. Bukan menuding jari kepada orang lain atas kelemahan diri sendiri.

4. 1Malaysia yang diilhamkan oleh PM Najib adalah gagasan yang bagus dan relevan. Apa yang kurangnya ialah cara penyampaian maksud 1Malaysia itu sendiri. Inilah tugas yang berat perlu ditanggung oleh setiap penjawat awam supaya menerangkan maksud sebenar 1Malaysia kepada umum.

5. Salah penerangan boleh mengakibatkan pelbagai isu dan sensitiviti timbul. Salah pendekatan akan memburukkan keadaan, malah boleh menjerumuskan pihak yang terlibat ke dalam kacau bilau. Tidak semua isu boleh dipersetujui atas nama 1Malaysia.

6. Malah ia akan jadi perangkap kepada penjawat awam sendiri jika ia tidak dijelaskan dengan betul. Pembangkang juga akan menggunakan 1Malaysia ini untuk kepentingan mereka. Penjawat awam juga tidak perlu melatah jika dijentik oleh pembangkang.

7. Menteri dan Timbalan Menteri tidak perlu tunduk kepada desakan pembangkang. Pembangkang akan cuba menjadi jaguh pelbagai isu sedangkan mereka sendiri tidak ada kredibiliti untuk menjadi pemerintah sebaik atau sekurang-kurangnya hampir baik kepada BN.

01 December 2009

Tidak perlu rombak BTN

Salam sejahtera.

1. Biro Tatanegara (BTN), secara umumnya adalah satu badan yang menjalankan kursus kenegaraan kepada sesiapa sahaja, sama ada penjawat awam, swasta atau persendirian melalui organisasi masing-masing.

2. BTN tidak pernah meminta menyokong kerajaan pusat yang ditunjangi Barisan Nasional (BN), sebaliknya hanya menekankan mengenai kecintaan kepada negara dan memahami bagaimana negara Malaysia ini didirikan.

3. Oleh kerana kemerdekaan Malaysia dipelopori oleh Parti Perikatan ketika itu, maka secara tidak langsung ia dikaitkan dengan parti pemerintah yang ada sekarang. Itu hanya kebetulan sahaja. Jika pembangkang pada waktu itu menjadi pelopor kemerdekaan, sudah pasti ia akan disebut ketika kursus BTN.

4. Saya sendiri pernah mengikuti kursus kenegaraan BTN ini, saya tidak nampak ia memaksa kami sebagai peserta untuk menyokong BN. Malah ramai juga rakan-rakan saya yang masih menyokong pembangkang walaupun pernah menghadiri kursus BTN.

5. Saya juga kesal dengan sikap kerajaan pusat yang 'melatah' dengan taktik pembangkang yang mengkritik BTN ini. Tindakan kerajaan pusat untuk merombak kursus BTN seolah-olah mengiakan sahaja helah pembangkang yang bencikan kursus kenegaraan ini. Berilah apa jua alasan, namun saya berpendapat kerajaan tidak perlu merombak kursus BTN.

6. Saya juga ingin mencadangkan supaya mewajibkan semua ahli parlimen menyertai kursus kenegaraan BTN supaya wujud rasa cinta dan setia kepada negara. Bukannya sewenang-wenangnya mendedahkan keburukan negara Malaysia ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Sila berikan komen dengan menyatakan nama anda. Komen dengan menggunakan nama Anonymous bermakna anda adalah seorang pengecut yang tidak berani bertanggungjawab terhadap komen anda sendiri.