PENAFIAN (DISCLAIMER)

Pihak penulis "Fikiran Kami" tidak akan bertanggungjawab atas segala hal yang akan terjadi hasil daripada nukilan di blog ini. Tulisan yang diterbitkan di blog ini hanya cetusan pendapat dan pandangan peribadi penulis ataupun pautan sumber-sumber yang dipilih.

Yang Mengikuti

There was an error in this gadget

12 August 2008

UiTM benteng terakhir bijak pandai Melayu


Setiap komen yang anda berikan haruskan tidak berlandaskan emosi. Rasional adalah perkara yang wajib dipertimbangkan di dalam setiap komen anda. Komen anda amatlah dihargai.

Tulisan:

MOHAMAD SOFEE RAZAK

Tasek Gelugor, Pulau Pinang

Sumber: Utusan Malaysia Online 12 Ogos 2008

CADANGAN agar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera dengan peruntukan tempat sehingga 10 peratus adalah langkah terkebelakang dan cubaan untuk mencabar satu lagi antara hak keistimewaan Melayu. Kontrak sosial yang telah sekian lama terbina dan dipersetujui sejak penubuhannya pada tahun 1956 perlu dihormati dan dipertahankan sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Dalam hal yang melibatkan hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputra lain, sebarang kompromi tidak diperlukan. Ini adalah kerana UiTM adalah benteng terakhir institusi bijak pandai Melayu di negara kita di mana sejak sekian lama telah melahirkan ribuan jurutera, peguam, arkitek, akauntan, pengamal media, ahli perniagaan dan lain-lain lagi. Ramai di kalangan menteri Kabinet yang ada sekarang adalah graduan dan anak didik institusi keramat umat Melayu ini.

Cadangan untuk membawa masuk bukan bumiputera ke UiTM sebenarnya bukanlah perkara baru bahkan usaha ke arah itu telah bermula sebelum ini lagi. Desakan agar UiTM membuka pintu kepada bukan bumiputera kini giat dilakukan oleh golongan bukan Melayu dan orang Melayu sendiri yang tidak sensitif terhadap masa hadapan serta nasib bangsanya.

Tindakan ini sangat menyedihkan di samping membelakangkan falsafah serta objektif awal penubuhan UiTM selama 52 tahun dahulu.

Cadangan tersebut bersandarkan alasan bahawa 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing akan dapat mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajarnya.

Ia juga dianggap sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan bumiputera yang lebih berdaya saing.

Hakikatnya kesemua alasan itu adalah tidak bertanggungjawab memandangkan UiTM bukanlah baru sepuluh atau dua puluh tahun ditubuhkan.

Sesungguhnya dalam persaingan yang semakin hebat dan sengit ini, umat Melayu memerlukan sebuah institusi khusus dan khas untuk menjana pemikiran serta pendidikan yang mana perlu diakui oleh semua kaum lain di negara ini tanpa sebarang rasa iri hati atau cemburu dengan sedikit keistimewaan yang masih ada ini.

Sekiranya dibenarkan UiTM dibuka kepada bukan Melayu dikhuatiri akan menyekat hak dan peluang orang Melayu dan bumiputra lain ke universiti kelak.

Tidak mustahil kaum lain juga akan memohon kuota yang lebih daripada 10 peratus pada masa hadapan.

Keadaan ini sangat membimbangkan setelah sekian banyak institusi Melayu runtuh dan 'diMalaysiakan' demi persefahaman kaum dan timbang rasa yang wujud sejak sekian lama. Oleh itu, adalah diharapkan agar hak dan keistimewaan eksklusif UiTM tidak diganggu gugat oleh sesiapa pun dan biarkanlah institusi ini bergerak seperti mana biasa agar usaha memperkasa umat Melayu dapat dilaksanakan dengan penuh amanah, sistematik dan diiktiraf semua pihak.

Sesiapa sahaja boleh memberi seribu alasan untuk membuka pintu UiTM kepada bukan Melayu, namun apa yang pasti ialah cadangan dan saranan berkenaan boleh disifatkan sebagai satu perangkap intelektual untuk menggadaikan keistimewaan yang telah diberikan kepada kaum Melayu dan bumiputera.

Ia juga jelas membuktikan wujudnya kelompok yang memandang rendah dan tidak lagi menghormati apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan jika perkara ini dituruti.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget


Sila berikan komen dengan menyatakan nama anda. Komen dengan menggunakan nama Anonymous bermakna anda adalah seorang pengecut yang tidak berani bertanggungjawab terhadap komen anda sendiri.