Bersolat ganti beryoga untuk jaga kesihatan
SAMA ada halal atau haram senaman yoga, umat Islam tidak perlu kecoh- kecoh atas kesedaran bahawa mereka mampu memelihara kesihatan tanpa senaman berkenaan.
Kalau masih ada pihak yang mempertikaikan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa amalan senaman berkenaan haram, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa yang mempertikainya sedang terlena dalam kejahilan yang teramat sangat.
Cuba perhatikan kenapa alim ulama kebanyakannya lebih lanjut usianya. Jarang benar guru-guru sekolah pondok umpamanya mati pada usia masih muda gara-gara diserang sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan penyakit-penyakit kronik yang lain. Kebanyakan mereka mati kerana sakit tua.
Antara rahsianya adalah kerana mereka banyak sembahyang sunat selain daripada sembahyang wajib lima waktu sehari semalam. Alim ulama akan tidur selepas Isyak dan akan bangun selepas pukul 12.00 tengah malam melakukan sembahyang malam.
Mereka akan tidur sekejap sebelum masuk waktu Subuh. Sebaik-baik sahaja bangun dari tidur, mereka akan sembahyang sunat Fajar, sunat Subuh dan tidur sekejap untuk kemudiannya akan bangun dan menunaikan sembahyang sunat Dhuha.
Rukun sembahyang yang rata-rata melibatkan kegunaan anggota badan itu sendiri lebih bersifat kepada gerakan senaman sama ada rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, bersimpuh ketika membaca tahyat, malah ketika berpaling kanan kiri ketika memberi salam.
Semalas-malas umat Islam menunaikan sembahyang yakni dengan hanya menunaikan sembahyang fardu sahaja pun, mereka akan melakukan 17 rukuk, 17 iktidal, 68 kali sujud, 32 bersimpuh dan 10 paling muka ke kanan dan 10 paling muka ke kiri.
Kebanyakan alim ulama akan memastikan jumlah sembahyang yang dilakukan adalah 50 rakaat sehari semalam bila dicampur jumlah sembahyang sunat dan fardu. Lazimnya sembahyang sunat dilakukan sebanyak dua rakaat.
Maknanya setiap hari mereka melakukan 50 rukuk, 50 iktidal, 318 sujud 164 kali bersimpuh, 76 memalingkan muka ke kanan dan 76 lagi memalingkan muka ke kiri.
Dengan sebanyak itu pergerakan anggota badan dilakukan, maka ia sudah lebih daripada cukup bagi tujuan senaman untuk kesihatan badan.
Lagi pun dengan memperbanyakan sembahyang, bukan sahaja badan akan sihat tetapi akan mendapat pahala berganda di samping otak dan dada akan menjadi lapang.
Antara tujuan direnggangkan waktu-waktu sembahyang juga adalah untuk mengingatkan kita bahawa pemikiran dan badan perlukan rehat.
Kebanyakan alim ulama juga suka berkebun, memancing dan pelbagai aktiviti berbentuk riadah, seperti menunggang kuda, menembak dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sedemikian juga ada kaitan dengan penjagaan kesihatan, kerehatan mental dan fizikal serta kawalan perbelanjaan harian.
Kenapa kita mesti ikut tatacara untuk kesihatan badan yang bertentangan dengan Islam? Kenapa kita tidak 'fotostat' kehidupan alim ulama ke dalam kehidupan kita. Bukankah alim ulama juga mencontohi kehidupan Rasulullah SAW ke dalam kehidupan mereka. Memilih kehidupan yang bercanggah dengan sunnah bermakna kita memilih kecelakaan.
RAMLI ABDUL HALIM
Kota Bharu, Kelantan
p/s: Ada umat Islam yang ingin membantah fakta ini?
No comments:
Post a Comment